Padang Anfield @ Facebook

Join Padang Anfield di Facebook...
Klik >> http://www.facebook.com/#!/pages/Padang-Anfield/113076378733822

(2008/09) ECL: Kegembiraan di Bernabue

Walaupun acap kali diusik tidak mampu menang menjelang perlawanan panas di gelanggang keramat Real Madrid namun The Reds telah membuktikan sebaliknya. Meski pun Los Blancos menguasai permainan tapi tidak dapat meletakkan bola di dalam jaring melepasi Jose Reina yang beberapa kali bertindak cemerlang untuk menidakkan gol buat Real Madrid.

Walaupun diberi jolokkan 'Spanish Giants' namun bilangan pemain Sepanyol adalah lebih ramai di pasukan Liverpool. Apa yang lebih jelek dan menjengkelkan adalah sikap pemain Real Madrid yang nyata tidak seperti gergasi tetapi seperti anjing sahaja. Mereka lebih banyak membuat 'terjunan bebas' (dive), berlakon tergolek berguling-guling apabila disentuh ibarat dilanggar lori pasir dan tidak lupa untuk bermain kasar dan kelihatan pengadil perlawanan kadang-kadang termakan juga perlakuan mereka seterusnya memberikan sepakan belas ehsan kepada pasukan 'Spanish Dogs'. Pelakon 'crook' yang paling jahat perlawanan itu dimenangi oleh Gago yang berjaya hanya menerima kad kuning walaupun membuatkan Albert Reira terpaksa diusung keluar dan diganti dengan Steven Gerrard.

Gol tunggal perlawanan diperolehi pada minit ke-82 apabila Gabriel Heinze dengan tidak semena-mena mengasari Dirk Kuyt di sebelah kanan padang pada jarak 33 meter dari pintu gol Real Madrid. Fabio Aurelio yang diberi tugas mengambil sepakan tersebut melambungkan bola menuju ke tengah kotak penalti dan disambar oleh Yahudi yang menanduk melepasi Iker Casillas untuk Liverpool mendapat kelebihan gol di tempat lawan. Namun ternyata tetap ada harga yang perlu dibayar The Reds apabila bakal kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan termasuk Fernando Torres dan Alvaro Arbeloa selain Reira.
Read More

(2008/09) EPL: Kecewa lagi di Anfield

Harapan untuk terus mengekori rapat Manchester United nampaknya semakin sukar apabila sekali lagi seri di Anfield setelah terikat 1-1 dengan musuh mereka, Manchester City. Ketiadaan Steven Gerrard yang belum cergas dan Xabi Alonso yang digantung perlawanan ternyata sedikit merencatkan pergerakan serangan dan pertahanan walaupun menguasai perlwanan apabila Rafael Benitez menurunkan pemain kesayangannya, Lucas Leiva.

Manchester City mendahului 1-0 pada minit ke-49 apabila tendangan Craig Bellamy melantun setelah terkena Alvaro Arbeloa dan melepasi jangkauan Jose Reina. City menggandakan asakan selepas itu sehingga menyaksikan gol jaringan Stephen Ireland dibatalkan kerana offside. Apa yang jelas pemain Liverpool seakan gagal mengekang pergerakan pemain City dan lebih mengecewakan apabila mereka sering kali membuang bola dalam situasi menyerang.

Hanya pada minit ke-78, Fernando Torres yang menerima hantaran Yahudi telah gagal merembat tepat namun bola telah bergolek ke Dirk Kuyt yang dengan pantas menyambar peluang dan menghantar bola ke jaring. Terselamat Liverpool dari kalah di Anfield namun penyokong The Reds mahukan 3 mata penuh untuk terus menghambat pendahulu liga. Namun gagal juga berbuat demikian apabila Shay Given beraksi cemerlang dalam mematahkan beberapa cubaan ke pintu golnya.
Read More

Pria Ganteng telah selamat dilahirkan

Berkat air selusuh yang disediakan pada malam Jumaat lalu bersempena dengan majlis membaca YaSin di Surau PAS Kampung Limbong, Paka, isteriku telah kepecahan ketuban pada keesokan harinya kira-kira 2.15 pagi sedang akoo terlena keletihan setelah bermain ragbi untuk pasukan Petronas yang dikalahkan 75-0 oleh Universiti Malaysia Timur (UMT). Lantas akoo mengejutkan mertuaku, memberitahu ayahandaku serta bersedia bergegas ke Hospital Dungun pada kadar paling perlahan.

Bumi Paka yang sudah lama tidak bermandikan hujan telah disimbahi air dari awan yang mengiringi perjalanan kami sekeluarga ke Dungun. Terus ke Wad Bersalin dan ditempatkan di katil 11 dan akoo terus tidur di dalam kereta sambil siap siaga andai cik misi memanggilku di bilik bersalin. Namun keadaan masih terkawal sehingga waktu dhuha dan akoo sempat pulang ke Paka. Tatkala mahu terlena, sms dari isteriku membuatkan akoo terus bersiap menuju ke hospital semula.

Di hospital akoo memimpin isteriku dari katil ke bilik bersalin namun cik misi tidak membenarkan akoo mengikut sama membuatkan ku kembali ke bangku menyambung tidur ku sambil menunggu panggilan cik misi namun sekali lagi tiada berita. Sehingga waktu melawat pada 12.30 tengah hari, akoo bersama bonda menuju ke katil 11 namun tiada kelibat isteriku di situ. Dia sudah kembali ke bilik bersalin.

Tiba-tiba kedengaran teriakan bayi dari bilik itu dan akoo semakin berdebar-debar namun ia bukan anakku kerana ia milik orang lain yang sama-sama masuk ke wad itu pada paginya. Cik misi keluar dan memanggil ku, lantasku mengekorinya dan terlihatlah isteriku dalam posisi untuk bersalin. Akoo terus memberi kata-kata semangat namun isteriku tidak berupaya kerana kekurangan tenaga membuatkan cik misi memasukkan air melalui tangannya.

Alangkah sedihnya melihat isteriku yang tiada berdaya namun dipaksa jua membuat teranan sehingga tepat 1.23pm tatkala azan Zuhur berkumandang di masjid belakang hospital, Pria Ganteng aka The Young Liverpudlian seberat 3.15kg telah selamat dilahirkan setelah hampir 45 minit isteriku berjuang. Akoo menyempurnakan solat Zuhur dan kemudiannya mengazankan di telinga puteraku. Namun kerana terlalu lama proses kelahiran membuatkan puteraku agak lemah dan diberi rawatan oksigen. Akoo kembali ke luar wad dan menuju ke kantin untuk makan bersama mertuaku.

Hanya setelah siap isteriku dirawat, akoo melawatnya di katil 11. Kelihatan isteriku amat lemah namun akoo amat bangga kerana dia berjaya melahirkan seorang bayi pria seperti mana yang telah akoo ramalkan sebelum ini. Akoo tidak membuat 'scan' untuk mengetahui jantinanya. Walaupun sebelum ini akoo ingin menamakannya Adam Daniel namun berkemungkinan besar namanya adalah Adam Zafran seperti yang dipinta isteriku.

Terima kasih adinda. Assalamualaikum, Pria Ganteng.
Read More

Xabi Alonso tidak bermain menentang City

Bukan kecederaan yang menghalang Xabi Alonso untuk turut bermain dalam perlawanan EPL minggu ini namun Alonso telah digantung satu perlawanan akibat mengumpul 5 kad kuning. Ini sudah pasti sedikit tamparan buat Rafael Benitez setelah kehilangan Steven Gerrard sebelum ini kerana kecederaan. Peminat The Reds sudah pasti tidak mahu Rafa menurunkan Lucas Leiva untuk bermain di bahagian tengah setelah menyaksikan Lucas dibuang padang dan seterusnya membuatkan Liverpool kempunan Piala FA.

Dengan terlepasnya peluang untuk beraksi dalam perlawanan ini, Alonso nyata agak terkilan namun masih optimis untuk menyaksikan Liverpool berjaya membenam cabaran City apabila melihatkan pemain antarabangsa telah kembali cergas setelah kembali dari mewakili negara mereka. Alonso juga tidak memandang rendah keupayaan City setelah mereka membuatkan The Reds terpaksa bermain bermati-matian setelah ketinggalan 2 gol di separuh masa pertama sebelum menang 3-2 semasa perlawanan di gelanggang lawan sebelum ini.


Pun begitu ketiadaan Alonso mungkin sedikit dapat ditampung dengan berita positif terbaru yang menyatakan Kapten Liverpool mungkin kembali bermain dalam perlawanan menentang City ini walaupun bermula di bangku simpanan. Bercakap berkenaan berita itu, Alonso sememangnya mahukan Gerrard kembali beraksi namun ketika beliau dalam 100 peratus sembuh dari kecederaan hamstringnya.
Read More

Liverpool minta UEFA ubah tarikh perlawanan

Tarikh perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang dijadualkan pada 15 April adalah bersamaan dengan tarikh peringatan Hillsborough yang ke-20 yang akan berlangsung di Anfield. Jurucakap The Reds berkata mereka telah menulis kepada UEFA untuk menukar tarikh perlawanan dan bersetuju sekiranya bermain awal pada 14 April. Itu pun sekiranya The Reds mampu menewaskan Real Madrid pada pusingan ke-2 ini.

Pihak bandaraya Liverpool juga dikatakan akan membunyikan loceng sebanyak 96 kali bagi memperingati 96 nyawa Liverpudlians yang terkorban semasa tragedi di stadium Sheffield Wednesday pada perlawanan separuh akhir Piala FA 1989 bertemu Nottingham Forest.
Read More

Perang saraf bermula

Seminggu menjelang pertemuan pusingan ke-2 Liga Juara-Juara Eropah bertemu Real Madrid di Santiago Bernabue dan perang saraf telah pun bermula. Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak perlawanan akhir Piala Eropah yang dimenangi Liverpool di Paris pada tahun 1981. Pun begitu Rafael Benitez mengambil pendekatan untuk menumpukan kepada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Anfield sebelum beralih kepada perlawanan di pertengahan minggu tersebut.

Pemain Real Madrid, Rafael van der Vaart memberitahu Daily Star baru-baru ini bahawa sesungguhnya The Reds dalam keadaan ketakutan untuk bertemu Real Madrid. Namun untuk menyerah kalah dengan mudah sudah pasti tiada dalam kamus Liverpool. Liverpool yang mempunyai lebih ramai pemain Sepanyol dalam kesebelasan utama berbanding 'Gergasi Sepanyol' itu akan memberikan tentangan sengit dan berupaya membuat kejutan di gelanggang lawan. Cuba bertanya kepada Barcelona mungkin kenangan semusim yang lalu masih segar dalam ingatan mereka setelah kemenangan The Reds 2-1 di Nou Camp.

Dan yang terbaru apabila Rafael Benitez sendiri dikaitkan dengan kerusi panas di Real Madrid. Rafa yang masih buntu dengan perbincangan penyambungan kontrak di Liverpool dikatakan akan beralih menjadi pengurus Los Blancos pada musim panas ini. Dan sekiranya Liverpool mampu menewaskan Real Madrid pada perlawanan ini kelak, mungkin jawatan itu akan segera dikosongkan menjelang musim panas ini. Walau bagai manapun Rafa telah memberitahu beliau mahu kekal di Liverpool buat masa ini dan Real Madrid adalah suatu perkara yang akan datang.

Penjaga gol, Jose Reina juga baru-baru ini dikaitkan juga dengan Madrid namun bukan Real Madrid tetapi Atletico Madrid yang dikatakan kelab sanjungan Reina sejak kecil dan juga tempat ayahnya, Miguel menabur bakti sebagai pemain pada tahun 70-an. Walau bagai manapun, sebarang perpindahan dalam masa terdekat ini mungkin tidak akan berlaku.
Read More

Hertha Berlin mahukan Voronin secara mutlak

Ironinya berita ini terbit setelah pemain pinjaman Hertha Berlin yang juga pemain terbuang dari Liverpool ini meledakkan 2 gol ke atas Bayern Munich dan membawa Hertha Berlin ke mercu Bundesliga. Diberitakan pengurus besar mereka Dieter Hoeness telah mengesahkan kemahuan kelab itu untuk mendapatkan khidmat Andriy Voronin meskipun mungkin akan menghadapi sedikit masalah untuk menyediakan £4 juta yuran perpindahan seperti yang dipinta oleh Liverpool.

Apa yang menarik Hoeness dipetik berkata, “And he (Voronin) has also said Hertha is a priority for him, because he likes the club and the city very much." Sedangkan sebelum itu kedengaran bahawa Voronin mahu pulang ke Liverpool untuk menyelesaikan masalah serangan The Reds setelah penghantaran semula Robbie Keane ke White Hart Lane.
Read More

Steven Gerrard kembali untuk Real Madrid?

Walaupun pada pemeriksaan awal mendapati Steven Gerrard akan direhatkan selama 3 minggu sehingga penghujung bulan Februari ini namun perkhabaran terbaru menyatakan kapten The Reds akan kembali bermain seawal perlawanan menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu. Dengan ketumpulan barisan serangan Liverpool baru-baru ini membuatkan khidmat Gerrard terpaksa ditagih membantu Liverpool mencatatkan sesuatu yang luar biasa di gelanggang lawan.

Apa yang pasti Gerrard tidak akan diturunkan pada perlawanan menentang Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris kerana mahu memastikan kecederaannya benar-benar sembuh menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah itu. Rafael Benitez juga tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkan Gerrard buat seketika namun terpaksa melupakan khidmat Gerrard untuk jangka masa yang lebih panjang sekiranya kecederaannya berulang.
Read More

Antara dua pertahanan

Khabar yang menyatakan Daniel Agger telah menyambung kontraknya bersama Liverpool rupa-rupanya hanyalah khabar angin. Agger juga telah diberitakan menanda tangani kontrak dengan bayaran mencecah £75,000 seminggu. Namun sehingga ke hari ini kontraknya masih belum diperbaharui dan Agger juga telah menyatakan kekecewaannya kepada media di Denmark. Di samping masalah kontrak yang masih belum diperbaharui, Agger juga masih belum berpuas hati dengan peluangnya bermain dengan skuad utama The Reds walaupun telah bermain ketika Liverpool menewaskan Portsmouth tempoh hari.

Kerumitan masalah kontrak Agger ini turut menarik perhatian beberapa pemain lama The Reds. Jan Molby (1984-1995) yakin disebalik kekecewaan Agger berkenaan konrtaknya yakin yang Agger sebenarnya mahu terus tinggal bermain dengan The Reds. Manakala John Aldridge (1987-1989) memberi amaran supaya menyelesaikan masalah Agger secepat mungkin atau berkemungkinan kehilangan seorang pertahanan yang ampuh bertahan dan mampu bertindak menyerang. Sesuatu yang amat jarang untuk dijumpai.

Sementara itu, kepulangan Emiliano Insua ke pangkuan Liverpool setelah gagal membantu skuad u-20 Argentina untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia u-20 FIFA amat dinanti oleh Rafel Benitez. Insua yang kini menjadi pilhan pertama Rafa untuk pertahanan kiri sudah pasti akan diberi tugas utama itu pada perlawanan menentang Manchester City tidak lama lagi.
Read More

Liverpool terletak di Sepanyol?

Menjelang perlawanan persahabatan di antara Sepanyol dan England satu perkara yang nyata dapat dilihat adalah ketiadaan pemain Liverpool di dalam pasukan England. Steven Gerrard yang masih dalam keadaan cedera sudah pasti tidak akan bermain tambahan pula Fabio Capello sebelum ini dengan lantang mengkritik Gerrard setelah peristiwa berdarah di kelab malam penghujung tahun 2008.

Seorang lagi pemain Inggeris yang cemerlang di Anfield sudah lama menggantung but untuk skuad kebangsaan akibat kekecewaannya apabila tidak dilayan dengan adil oleh pengurus Englan sebelum ini. Namun sekiranya Capello memanggil Jamie Carragher ke dalam skuad England apakah Carra dapat bermain pasukan utama? Manakala Jermaine Pennant yang tidak mampu bermain untuk Liverpool sudah pasti juga tidak mampu untuk dilihat oleh Capello untuk ditambah ke dalam skuadnya.

Namun sekian kalinya Capello kelihatan semasa Liverpool bermain adalah kerana apa? Apakah hanya untuk menyatakan sokongannya kepada Liverpool, atau untuk mencari pemain untuk skuad England atau cuba mengkaji permainan pemain Sepanyol menjelang pertemuan mereka?

Lihat pula skuad Sepanyol yang sudah pasti menagih penyerang Liverpool yang kian keletihan namun masih mampu menjaringkan gol di masa tambahan. Fernando Torres sudah pasti menjadi ayam tambatan Sepanyol tambahan pula mereka terhutang budi kepada Torres yang memberikan mereka Piala Eropah setelah menunggu selama 44 tahun. Kali ini 5 pemain Liverpool berada dalam skuad Sepanyol termasuk Xabi Alonso, Alvaro Arbeloa, Pepe Reina dan Albert Riera namun kemungkinan hanya Torres akan bermain kesebelasan utama.

Dengan situasi ini kelihatan seperti Liverpool sebagai sebuah kelab Sepanyol pula. Berbeza pada 90-an di mana pemain Liverpool akan berada di skuad England seperti David James, Jamie Redknapp, Steve McManaman, Robbie Fowler, Michael Owen dan beberapa nama yang lain. Mungkin Rafael Benitez dihantar oleh Sepanyol untuk melatih dan membentuk skuad Sepanyol Perantau (Spanish Wanderers) yang akan menyesuaikan diri dengan permainan England dan seterusnya dapat membantu skuad Sepanyol dalam melemahkan bisa skuad England sekiranya mereka bertemu di pentas antarabangsa.
Read More

Dua pengurus dipecat kerana Liverpool dan Torres?

Umum sudah mengetahui berita berkenaan pemecatan pengurus Chelsea Luis Felipe Scolari yang merupakan seorang yang amat berwibawa dengan Piala Dunia berada dalam kabinetnya. Mungkin juga Scolari yang biasa menguasai pemain untuk skuad kebangsaan tidak berjaya mengawal pemain-pemain berstatus bintang yang bermain demi periuk nasi dan bukan demi perjuangan nusa bangsa.

Mungkin prestasi terkini Chelsea yang kian jatuh dari persada liga dan kini di potong pula oleh Aston Villa membuatkan pengurusan Chelsea tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Sudah pasti Avram 'Yahudi' Grant yang agak berjaya pada musim lepas dan The Special One Jose Mourinho yang berjaya mendapatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat Chelsea sedar akan keperluan mereka untuk sentiasa berada di puncak atau menerima surat pemecatan.


Sebelum itu, Tony Adams yang menyepak kerusi setelah Dirk Kuyt menyamakan kedudukan pada perlawanan baru-baru ini juga telah menerima surat perlucutan jawatan dari pengurusan Portsmouth. Berbeza dengan Filipao, Adams telah gagal memenangi sebarang perlawanan sejak dari November tahun lepas dan kini berada di tangga ke-16 liga. Adams yang berjaya sebagai pemain bersama Arsenal agak terkejut dengan penyingkirannya dan menyatakan masih memerlukan masa untuk membina pasukan yang hanya diuruskan setelah Harry Redknapp ke Tottenham Hotspur pada Oktober tahun lepas.


Pun begitu terdapat satu persamaan di antara mereka yang mungkin hanya satu kebetulan sahaja. Portsmouth dan Chelsea telah dikalahkan oleh The Reds melalui gol Fernando Torres sebelum mereka dipecat. Chelsea terlebih dahulu dikalahkan dengan 2 gol Torres ketika permainan menuju ke wisel penamat manakala pada minggu hadapannya Torres sekali lagi menghancurkan Portsmouth dengan gol kemenangan Liverpool dalam masa kecederaan. Apa yang menarik kedua-dua gol kemenangan itu adalah melalui tandukan dari hantaran lambung dari sebelah sayap kiri.


Mungkin hanya satu kebetulan sahaja namun apa yang pasti Rafael Benitez dan seterunya, SAF agak terkejut dengan pemecatan Filipao dan sama-sama meluahkan rasa sedih atas berita tersebut. Menurut berita terbaru, Guus Hiddink yang sedang mengurus Russia telah diberi kebenaran untuk berbincang dengan Chelsea untuk menjawat jawatan pengurus Chelsea pada musim panas ini.
Read More

EPL: Torres penyelamat Sang Merah






Bertemu dengan Portsmouth yang tidak menang sejak November tahun lepas, Rafael Benitez mengambil langkah yang sangat berani untuk mencuba formasi dengan kesebelasan utama yang sangat berbeza. Apa tidaknya dapat dilihat 6 pemain pertahanan bermain untuk permulaan permainan. Suatu yang percaturan yang menarik dan membingungkan juga apabila Rafa bertindak menyimpan pemain utama seperti Fernando Torres, Dirk Kuyt dan Xabi Alonso. Walaupun terdapat pendapat awal yang Sami Hyypia akan turun untuk membanteras Peter Crouch namun tidak menjadi kenyataan. Jelas ketiadaan Steven Gerrard amat dirasai apabila corak permainan The Reds turut berubah dari kebiasaannya.

Separuh masa pertama agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Apa yang bagus barisan Liverpool ini adalah mereka cepat untuk memberi tekanan setiap kali pemain Pompey mendapat bola tetapi yang kurang bagus adalah mereka sering kehilangan bola, sukar untuk mengekalkan penguasaan bola dan sering hilang hala tuju dengan membuat hantaran yang tidak sampai. Gandingan Ryan Babel dan Davin Ngog juga masih kurang persefahaman dan kadang kala bertindak kurang tenang dalam mencari penyudah. Secara amnya penyudah Liverpool amat tumpul sehingga kemasukkan Torres di separuh masa ke-2. Yang menarik adalah persefahaman yang baik oleh Fabio Aurelio dan Andrea Dossena yang sering bertukar-tukar posisi dan membuat larian dan hantaran dari sebelah sayap kiri. Kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa dengan percubaan terbaik dari Liverpool oleh Javier Mascherano dari jarak 30 meter yang membuatkan David James terpaksa terbang menepis bola keluar.

Tidak sampai sejam beraksi, Ngog digantikan oleh Kuyt yang terus membuat kesan dengan melorongkan bola ke hadapan pintu gol yang terbuka namun Babel yang tidak dikawal gagal mengawal kakinya dan bola terus berlalu pergi. Lebih memilukan selang 3 minit selepas itu Pompey dihadapan hasil jaringan David Nugent yang tidak dikawal setelah menerima hantaran dari Crouch. Nugent seorang penyokong Everton sebelum itu kelihatan mengejek penyokong Liverpool dengan membuat simbol 1-0 kekalahan Liverpool kepada Everton dalam Piala FA.

Pada minit ke-68 Crouch membuat hantaran ke penjaga gol dan cuba dipintas oleh Dirk Kuyt dan David James berjaya menghalang menggunakan tangannya. Pengadil yang sedar dengan kejadian itu telah memberi sepakan tidak langsung kepada Liverpool. Xabi Alonso yang baru masuk menggantikan Dossena menghulurkan bola dan disambar oleh Aurelio dengan satu tendangan padu menuju ke penjuru kiri gol Portsmouth dan gagal dihalang oleh Niko Krancjar yang sedang berkawal di situ.

Kelemahan pertahanan Liverpool terhadap set-pieces terserlah sekali lagi apabila melepaskan gol kedua pada minit ke-78 hasil tandukan pertahanan Iceland, Hermann Hreidarsson yang menerima lambungan sepakan percuma Nadir Belhadj setelah Aurelio mengasari Glen Johnson. Ini kali ke-2 Pompey mendahului The Reds dalam perlawanan ini dan pengurus mereka, Tony Adams melepaskan tumbukan tanda kegembiraan. Fernando Torres yang baru sahaja masuk untuk Babel nampaknya terpaksa bekerja lebih keras dalam 10 minit terakhir ini.

Ternyata gol tersebut sedikit membakar semangat juang pemain Pompey dan merentap semangat The Reds dengan Pompey terus menguasai permainan dengan pergerakan serangan oleh Peter Crouch. Pun begitu pada minit ke-85 Torres yang mara kehadapan melorongkan bola ke Kuyt yang menewaskan Sylvain Distin dan melepaskan tendangan ke near post, suatu sudut yang sukar bila mana James sememangnya sudah menutup ruang. Namun James telah menampan bola tersebut ke dalam gawangnya sendiri. Liverpool kembali mengikat kedudukan dan kali ini kelihatan Tony Adams menyepak kerusi pula.

Menuju ke masa penamat dan bermain dalam masa kecederaan, Liverpool telah mengesahkan gelaran Kings of Comebacks apabila memperolehi gol kemenangan menerusi tandukan Torres yang menerima hantaran Yahudi dari sayap kiri. Sekali lagi James memainkan peranannya apabila gagal menepis keluar tandukan el-Nino sebaliknya menampan ke jaring sendiri. Kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan dan Liverpool melonjak ke kedudukan teratas liga buat sementara sebelum Manchester United bertemu West Ham di Upton Park.

Kemenangan ini sudah pasti amat melegakan Rafael Benitez yang sudah pasti akan terlepas dari kritikan umum setelah menurunkan barisan yang amat luar biasa dan merehatkan beberapa pemain utama sedangkan tiada perlawanan lain dalam masa terdekat ini. Liverpool hanya akan bermain dalam tempoh 2 minggu di Anfield untuk melayan kunjungan Manchester City.

Berikut adalah populasi gol dan percubaan ke arah gol perlawanan ini.

Read More

Kapten direhatkan 3 minggu

Keputusan dari pemeriksaan terhadap kecederaan hamstring di kaki kiri Steven Gerrard dapat disimpulkan bahawa kapten Liverpool terpaksa direhatkan selama 3 minggu. Boleh dikatakan Gerrard hanya mungkin kembali pada perlawanan pada hujung bulan Februari ini ketika menentang Middlesbrough di gelanggang lawan. Apa yang pasti Gerrard akan terlepas untuk beraksi dalam perlawanan terdekat ini ketika bertandang ke Portsmouth dan juga tidak dapat menyertai skuad kebangsaan England menentang Sepanyol.

Selain dari itu perlawanan penting pusingan kedua Piala Juara Eropah di gelanggang Real Madrid juga bakal menyaksikan Liverpool beraksi tanpa Gerrard. Namun Gerrard masih boleh beraksi dalam perlawanan timbal balik di Anfield. Persoalannya sekarang adalah bagaimana The Reds menempuh dugaan beraksi tanpa kelibat kapten kerana jelas kelihatan tempangnya Liverpool setelah Gerrard di keluarkan pada minit ke-16 dalam perlawanan menentang Everton di Goodison Park.

Tanpa Gerrard dan Robbie Keane yang telah dihantar semula ke White Hart Lane, Rafael Benitez seakan tiada pemain lain yang mampu mengisi tempat 'pemain tengah menyerang' untuk bermain formasi 4-4-1-1 yang sangat sesuai dengan corak permainan Liverpool ketika ini. Jelas setelah kemasukan Yahudi dan bertukar ke formasi 4-4-2 dengan Dirk Kuyt bertukar ke tengah, Liverpool jelas tidak mempunyai kuasa penerjah ke dalam kawasan Everton.

Namun apa pun keadaannya, penyokong The Reds tetap percaya Rafa akan cuba buat terbaik untuk menyaingi pendahulu liga dan hanya itulah yang terbaik dilakukan setelah tersingkir dari 2 persaingan piala domestik.
Read More

Piala FA: Liverpool terkandas di pusingan ke-4






Taktik menunggu penentuan penalti akhirnya ternyata suatu yang sangat mahal harganya buat Liverpool apabila Dan Gosling menjaringkan gol kemenangan Everton beberapa minit sebelum tamat permainan separuh masa ke-2 masa tambahan dalam perlawanan ulangan pusingan ke-4 Piala FA di Goodison Park. Liverpool sememangnya mengharapkan kecemerlangan Jose Reina untuk menang penentuan penalti setelah tidak mampu menyaingi serangan Everton yang ternyata mempunyai kelebihan dari segi mental dan bilangan pemain.

Sebelum sepak mula, Liverpool kelihatan mempunyai barisan yang lebih baik walaupun membuat 2 pertukaran dengan memasukkan Lucas Leiva dan Andrea Dossena dengan merehatkan Javier Mascherano dan Fabio Aurelio. Manakala Everton pula tidak membariskan penyerang asli dengan meletakkan Tim Cahill bertindak sebagai penyerang setelah Anichebe bertengkar dengan David Moyes. Namun keadaan sedikit berubah selepas kecederaan kapten The Reds dan digantikan dengan Yahudi namun tidak berupaya beraksi sebaik perlawanan menentang Chelsea hujung minggu lepas. Separuh masa pertama berlangsung dengan seimbang dengan kedua-dua pasukan mendapat peluang yang sama rata namun tiada sebarang gol dihasilkan.

Separuh masa kedua juga berlangsung seimbang namun Liverpool yang lebih banyak mencipta peluang dan percubaan ke arah pintu gol Everton walaupun kelihatan sedikit tempang tanpa kelibat Steven Gerrard. Everton hampir mendapat gol pertama melalui tendangan kaki kiri Leon Osman yang sedikit tersasar dan menggegarkan tiang walaupun Reina telah pun tertewas. Kemudiannya Liverpool kehilangan seorang pemain apabila Lucas dilayangkan kad kuning ke-2 kerana mengasari Joleon Lescott pada minit ke-76. Rafael Benitez kemudiannya memasukkan Javier Mascherano untuk Alberto Reira dan Liverpool mula bertahan untuk mengheret permainan ke masa tambahan dan seterusnya ke sepakan penalti. Everton yang mempunyai kelebihan pemain juga tidak mampu mengambil kesempatan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga 90 minit masa sebenar tamat.

Bermula sahaja masa tambahan Everton bagaikan singa lapar terus menerpa ke arah pintu gol Liverpool dan mencipta beberapa peluang gol namun gagal menewaskan Reina yang masih bertahan. Rafa seterusnya menggantikan Fernando Torres yang nyata keletihan dan digantikan oleh Ryan Babel namun tidak memberi kesan yang mendalam. Masih kebuntuan dan kedudukan masih kekal 0-0 ketika memasuki separuh masa kedua masa tambahan.

Hanya ketika Liverpool hanya bertahan dan menunggu masa tamat untuk penentuan sepakan penalti, Everton menerusi Andy Van der Meyde membuat larian disebelah kanan dan menghantar ke Gosling yang mengawal bola dan melepaskan satu tendangan ke arah penjuru kiri Reina. Bola yang terkena kaki Martin Skrtel melambung tinggi dan gagal ditepis oleh Reina. Jaringan gol pada minit ke-119 tersebut ternyata tidak mampu dibalas semula oleh Liverpool dan Everton berjaya meneruskan perjalanan ke pusingan ke-5 untuk bertemu Aston Villa.
Read More

Kesebelasan utama: 2 pertukaran


Lucas kembali ke barisan utama menggantikan Javier Mascherano dan juga Andrea Dossena untuk Fabio Aurelio yang mungkin mendapat kecederaan ketika menentang Chelsea.
Read More

Preview Piala FA: Perlawanan ulangan pusingan ke-4

Everton (WDDDL) vs Liverpool FC (DDDDW)
Goodison Park
Piala FA (Ulangan pusingan ke-4)

Rafael Benitez dijangkakan akan menurunkan skuad yang hampir sama ketika menentang Chelsea tempoh hari. Mungkin kerana tidak perlu risau akan perlawanan di hujung minggu menentang Portsmouth yang masih belum menang sebarang perlawanan sejak kemenangan terakhir mereka pada 30 November tahun lepas.

Tambahan pula, berita yang agak menarik dari taman seberang yang diberitakan mungkin membariskan skuad tanpa pemain penyerang setelah satu-satunya penyerang yang layak bermain, Victor Anichebe terlibat dalam satu pertengkaran dengan David Moyes ketika sesi latihan. Anichebe telah disingkirkan dari sesi latihan tersebut dan pertengkaran itu dikatakan berpunca dari kurang puas hati terhadap pengurusnya yang telah meminjam penyerang Brazil, Jo dari Manchester City.

Pun begitu Jo tidak dapat disenaraikan untuk Everton kerana telah terlibat dalam pasukan Manchester City dalam Piala FA sebelum berpindah ke Everton. Maka dengan itu Tim Cahill dijangka akan menjadi 'penyerang terjun' untuk The Toffees. Namun kehadiran Maruoane Fellaini, pemain tinggi lampai yang tidak bermain dalam 2 Merseyside derby lalu sedikit akan menimbulkan masalah kepada The Reds terutama pada set-piece bola hantaran tinggi.

Tiada sebarang kecederaan baru buat The Reds dan semua pemain utama kecuali Philip Degen disahkan cergas untuk beraksi.
Read More

Perpindahan Januari

Seperti yang telah dinyatakan oleh Rafael Benitez pada awal tingkap perpindahan Januari bahawa tiada pembelian masuk yang besar untuk Liverpool telah terbukti benar. Hanya ada satu perpindahan pemain muda Iceland, Victor Palsson yang dibawa masuk dari pasukan Liga Denmark. Pun begitu hanya satu perpindahan keluar yang telah berlangsung pada hari terakhir perpindahan Januari.

Robbie Keane yang dibeli pada musim panas lalu telah dihantar pulang semula ke White Hart Lane dengan jumlah bayaran yang tidak didedahkan umum namun khabar angin mengatakan harga perpindahan tersebut tidak kurang dari £12 juta. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Keane ini telah mengundang beberapa spekulasi yang kononnya Rafa akan membawa masuk beberapa nama besar ke dalam skuad Liverpool seperti David Villa dan Javier Saviola namun sehingga kini tiada pengesahan tentang perkara tersebut.

Dengan adanya pemain muda seperti David Ngog dan Nabil el-Zhar, The Reds seharusnya boleh mencuba gandingan ini untuk barisan pelapis menggantikan Keane terutamanya Ngog yang telah beraksi cemerlang dalam Liga Simpanan. Perpindahan yang lain hanyalah sekadar pinjaman pemain belia dan remaja ke pasukan liga bawah.
Read More

Manchester United gembira Liverpool menang

Pegawai Manchester United dengan angkuhnya menerusi laman rasminya ternyata berpuas hati dengan kemenangan Liverpool ke atas Chelsea kerana beranggapan Chelsea adalah pencabar mereka yang lebih kuat berbanding The Reds. Mereka menyatakan Chelsea sebuah pasukan yang lebih baik di setiap segi berbanding Liverpool dan kemenangan Liverpool tidak sedikit pun membimbangkan mereka.

Sila klik di sini untuk berita lebih lanjut.
Read More

Robbie Keane pulang ke gagang

Setelah banyak spekulasi berlegar-legar di ruangan forum, laman sesawang dan juga perbualan di kedai kopi setelah kehilangan Robbie Keane dari barisan Rafael Benitez kini terjawab setelah pihak pengurusan Tottenham Hotspur mengesahkan kepulangan Keane ke pangkuan White Hart Lane.

Keane yang tidak tersenarai dalam skuad Liverpool yang menang ke atas Chelsea diberitakan telah ke Spurs pada pagi Isnin untuk perbincangan kontrak setelah mendapat kebenaran pengurusan Liverpool. Kedua-dua pihak mencapai persetujuan kontrak pada petang Isnin sebelum Spurs mengumumkan berita tersebut pada 5.30 petang (waktu UK).

Bercakap kepada laman rasmi Spurs, Keane menyatakan tindakan meninggalkan White Hart Lane 6 bulan lepas adalah suatu yang amat sukar dan ternyata tindakannya dahulu suatu kesilapan. Keane juga berjanji akan berjuang untuk Spurs dalam membalas kepercayaan peminat mereka.
Read More

EPL: Torres: 2 Chelsea: 0





Liverpool seakan telah melupakan bulan Januari yang mengecewakan dengan membuka lembaran baru setelah menundukkan Chelsea di Anfield. Ini adalah kemenangan berganda ke atas Chelsea yang pertama sejak musim 1989/1990 yang juga musim terakhir kemenangan The Reds dalam saingan liga utama di England.

Walaupun seakan tidak berupaya untuk melepasi tembok terakhir Chelsea di sepanjang separuh masa pertama di mana The Blues lebih menguasai perlawanan namun jumlah percubaan adalah lebih banyak dilakukan oleh The Reds. Pun begitu pertahanan Chelsea lebih banyak bertahan sebenarnya kerana sering berkampung sehingga 5-6 pemain setiap kali Liverpool mula mengatur serangan. Separuh masa pertama berakhir dengan tanpa jaringan.

Separuh masa kedua lebih dikuasai oleh Liverpool yang mula mengatur serangan sejak sepak mula. Permainan bertambah hangat setelah tonggak Chelsea, Frank Lampard dibuang padang setelah mengasari Xabi Alonso. Suatu keputusan yang kontroversi apabila ramai yang berpendapat Alonso juga bertindak membalas terjahan Lampard itu namun terjahan 2 kakinya dan lompatan Alonso yang mengelak membuatkan Mike Riley tidak berfikir panjang untuk menghadiahkan kad merah buat Lampard.


Dengan keputusan ini Liverpool tidak menoleh ke belakang lagi dan terus mengasak Chelsea yang semakin bertahan namun masih tidak berjaya menghasilkan sebarang gol dan keadaan kelihatan semakin mendesak sehinggakan Steven Gerrard juga dihadiahkan kad kuning kerana dituduh membuat 'dive' di hadapan kotak penalti. Hanya setelah kemasukan Yahudi menggantikan Albert Riera pada minit ke-74 serangan Liverpool bertambah bahaya dengan kadar kemasukan pergerakan ke kotak penalti bertambah dan juga lebih banyak percubaan ke arah gol dihasilkan.

Pada minit ke-88 Fabio Aurelio telah melambungkan bola ke arah 'near post' dan sempat disambar Fernando Torres yang membuat tandukan nipis dan gagal diselamatkan oleh Petr Cech. Berbeza dengan beberapa perlawanan lepas, Liverpool terus mengasak walaupun sudah mendahului 1-0. Hasilnya pada minit ke-93 Ashley Cole yang diasak Yahudi telah terlepas bola dan Yahudi dengan mudah menghantar ke Torres yang menyumbat bola ke pintu yang ternga-nga. Sejurus kemudian Rafel Benitez mengeluarkan Torres yang mendapat 'penghormatan berdiri'. Kemenangan 2-0 di saat akhir ini juga membuatkan The Reds kembali mendapat semangat untuk mengejar pendahulu liga, Manchester United.

Read More

Tiada lagi Robbie Keane


Read More

Preview EPL: Liverpool vs Chelsea


Liverpool FC (DWWDDD) vs Chelsea (DWDLWW)

Anfield

English Premier League

Dengan tanpa sebarang kemenangan dalam EPL semasa bulan Januari membuatkan Liverpool semakin ketinggalan mata dengan pendahulu liga, Manchester United. Chelsea yang dibelasah Red Devils sedikit bernasib baik dalam perlawanan lain dan kini telah memintas Liverpool di tangga ke-2. Namun kedua-dua pasukan sedang ketinggalan 5 mata dari pendahulu liga dan akan semakin ketinggalan sekiranya perlawanan berkesudahan dengan seri.

Walaupun Liverpool telah menokhtahkan kekebalan Chelsea di Stamford Bridge pada Oktober tahun lalu namun prestasi Liverpool terkini tidak sebaik Chelsea. Lagi pun rekod 10 pertemuan terakhir juga berpihak kepada Chelsea dengan 4 kemenangan, 3 kekalahan dan 3 seri. Penyudah Liverpool agak tumpul selepas kemenangan besar ke atas Newcastle United pada penghujung 2008 apabila hanya menjaringkan 5 gol pada sepanjang bulan Januari jumlah yang sama dijaringkan terhadap Newcastle.

Liverpool: Reina, Arbeloa, Skrtel, Agger, Hyypia, Carragher, Dossena, Aurelio, Benayoun, Babel, Alonso, Mascherano, Lucas, Gerrard, Riera, Torres, Kuyt, Keane, Cavalieri.

Chelsea: Cech, Hilario, Taylor, Ferreira, Bosingwa, Terry, Alex, Ivanovic, Mancienne, A Cole, Lampard, Ballack, Mikel, Deco, Kalou, Malouda, Drogba, Anelka, Stoch, Belletti

Injuries:

Liverpool: Arbeloa, Deggen
Chelsea: Essien, J.Cole, Carvalho, Malouda
Player to watch (Yahoo Sports)
Read More

EPL: Liverpool keciciran mata lagi

Wigan Athletic ( 1 - 1 ) Liverpool FC




Suatu keputusan yang menunjukkan masalah dalaman Liverpool agak mengganggu keputusan perlawanan. Walaupun menguasai keseluruhan perlawanan Liverpool tetap gagal menjaringkan gol dengan banyak dan hanya mengekalkan 1 gol separuh masa pertama oleh Yahudi sebelum Lucas mengasari Jason Koumas di dalam petak penalti yang kemudiannya Hossam Mido menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya bersama Wigan.
Rafael Benitez yang sebelum itu menggantikan Fernando Torres dengan Albert Reira tersentak dan dengan pantas memasukkan Robbie Keane untuk Steven Gerrard. Namun dalam tempoh yang terhad tidak ada apa yang mampu dilakukan oleh Keane dan Liverpool terpaksa berpuas hati dengan 1 mata dan Chelsea pula merampas tempat ke-2 di Liga Perdana Inggeris. Inilah kejadian ke-2 berlaku apabila 3 mata The Reds dirampas dalam 10 minit terakhir perlawanan dalam bulan Januari 2009 ini.
Read More

Para Sahabat