Berminat untuk menjadi penulis di laman blog Padang Anfield?

Nyatakan keinginan anda di mana-mana bahagian comment di blog ini atau e-mail ke padang.anfield@gmail.com


Jumaat, 2009 Mac 20

ECL: Sang Merah bertemu Si Biru (Lagi!)


Tradisi pertembungan The Reds dan The Blues di Champions League nampaknya berulang lagi apabila diundi untuk bertemu di pusingan suku akhir. Ini merupakan pertemuan kedua-dua pasukan kali ke-5 dalam 5 musim berturut-turut dengan 4 kali di pusingan kalah mati dan sekali di pusingan kumpulan pada musim 2005/06. Perlawanan pertama bakal berlangsung di Anfield sebelum bermain di Stamford Bridge yang telah juga runtuh sebagai mana Old Trafford minggu lepas.

Sebagai mana yang diberitakan, UEFA telah bersetuju untuk membenarkan Liverpool bermain lebih awal bagi mengelakkan pertembungan sambutan majlis peringatan ulang tahun ke-20 peristiwa berdarah Hillsborough yang dijadualkan pada 15 April di Anfield. Pertembungan ini bakal menjadi perlawanan tumpuan berikutan kemenangan 'double' Liverpool ke atas Chelsea musim ini namun prestasi kedua-dua pasukan ketika ini adalah seimbang setelah terikat dengan 61 mata dan hanya kelebihan jaringan membuatkan Chelsea berada di tangga ke-2.

Isnin, 2009 Mac 16

EPL: Old Trafford runtuh


Manchester United ( 1 : 4 ) Liverpool

(Torres 28, Gerrard pen-44, Aurelio 77, Dossena 90+1)


Ramai yang menyatakan Liverpool masih dibuai mimpi indah setelah memalukan Real Madrid di Anfield pada perlawanan ECL di pertengahan minggu dan Manchester United bakal mengejutkan The Reds dari lena yang panjang itu. Tambahan pula Liverpool terpaksa menggunakan pemain yang semakin tidak disukai ramai, Lucas Leiva yang menggantikan Xabi Alonso yang cedera pada perlawanan sebelum itu. Sami Hyypia juga dimasukkan di saat akhir menggantikan Alvaro Arbeloa yang menyaksikan Jamie Carragher akan bermain di sebelah kanan.


Perlawanan yang bakal tegang ini berlangsung dengan kedua-dua pasukan bermain dengan agak berhati-hati namun Manchester United terlebih dahulu mengatur gerakan dan membuat percubaan ketika Liverpool masih tercari-cari rentak permainan. Nyata barisan pertahanan Liverpool yang dibarisi gabungan pemain tua dan muda ini terpaksa bekerja keras menyerap setiap pergerakan pemain tengah Manchester United sehingga menyaksikan Carlos Tevez yang membuat hantaran ke Park Ji Sung di dalam kotak penalti sehingga memaksa Jose Reina meluru keluar untuk menepis bola. Namun pergerakannya itu melanggar Park yang menggulingkan dirinya sehingga hampir keluar padang dan pengadil permainan, Alan Wiley tidak teragak-agak menunjuk ke titik sepakan penalti yang disempurnakan Ronaldo walaupun Reina telah berjaya mengagak bola tersebut.


Namun kelebihan gol itu tidak memberi kelebihan buat United apabila ia lebih menyuntik semangat juang pemain The Reds yang acap kali dinyatakan akan bermain lebih baik setelah ketinggalan satu gol. Ini terbukti apabila gandingan tengah Liverpool yang diterajui oleh Steven Gerrard, Albert Reira dan Dirk Kuyt kembali menyusun gerakan. Namun gol penyamaan The Reds hadir bermula dari hantaran jauh Martin Skrtel ke dalam kawasan United. Nemanja Vidic yang dikatakan dalam prestasi terbaik, membiarkan bola itu melantun melepasinya walaupun Fernando Torres berada sangat rapat dengannya. Torres yang lebih nyata lebih pantas, melepasi halangan Vidic dan menghantar bola melintang melepasi Edwin Van Der Sar yang juga dikatakan dalam kemuncak prestasi untuk bola menggegar jaring hanya di sebelah tiang kanan penjaga gol.


Terikat 1-1, dan Torres semakin galak mempermainkan barisan pertahanan United terutamanya Vidic sehingga terpaksa dibantu Rio Ferdinand. Namun selepas itu United kembali menyerang dan memperolehi percubaan menerusi sepakan percuma Ronaldo yang gagal diselamatkan kemas Reina namun Carlos Teves gagal menyambar bola muntah tersebut. Micheal Carrick juga mendapat peluang setelah berjaya melepasi kawalan Javier Mascherano namun percubaannya hanya sedikit tersasar melepasi palang gol.


Dalam keghairahan United menyerang, Torres yang dalam posisi menyerang menghantar bola ke sebelah kanan kotak penalti untuk Gerrard dan Patrice Evra cuba menghalangnya telah menjatuhkan Kapten Liverpool di dalam kotak penalti dan memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang kedua pada hari ini. Gerrard tanpa sebarang masalah melaksanakan tugasannya walaupun van der Sar keluar lebih awal yang membolehkan pengadil menghadiahkan kad kuning buatnya. Gerrard selepas itu enggan meraikan gol dengan pemain lain sebaliknya memegang lambang Liverpool dan terus mengucup kamera di penjuru padang. Liverpool mendahului 2-1 menuju tamat separuh masa pertama.


Separuh masa kedua memang milik United pada awalnya. Pemain mereka bertali arus membuat pergerakan dan serangan menerusi Ronaldo, Park, Tevez dan pemain yang sangat membenci Liverpool, Wayne Rooney. Beberapa kali pemain Liverpool terpaksa mengasari mereka demi mengelakkan percubaan yang lebih bahaya dengan layangan kad kuning juga berpihak kepada Liverpool di mana Mascherano dan Skrtel juga terkena bahangnya. Namun masih tiada jawapan dari United terhadap gol Gerrard sehinggakan Sir Alex Ferguson mengarahkan penyerang berbisa, Dimitar Berbatov beserta dua kuda tua terhebat, Ryan Giggs dan Paul Scholes bersedia untuk masuk. Dan mereka dimasukkan serentak pada minit ke-74 menggantikan Anderson, Carrick dan Park.


Hanya selepas pertukaran itu, penyokong United melihatkan sesuatu yang hebat akan berlaku apabila Vidic yang dimalukan oleh Torres sebelum itu terpaksa menarik baju Gerrard dan menjatuhkannya di luar kotak penalti demi menghalang Gerrard memalukan van der Sar sekali lagi. Tindakannya itu mengundang padah buat United apabila pengadil menghadiahkan kad merah buat Vidic dan sepakan percuma buat Liverpool. Gerrard dan Fabio Aurelio bersedia mengambil sepakan yang kemudiannya diambil Aurelio yang menghantar bola melepasi tembok pemain ke penjuru sebelah kiri van der Sar yang nyata tergamam dan hanya melihat bola tersebut mencecah jaring untuk Liverpool mendahului 3-1. United yang telah menggunakan kesemua pertukaran yang dibenarkan terpaksa bermain dengan 3 pertahanan sambil mengharapkan kuda tua mereka mampu membuat 'come back' buat mereka.


United yang sebelum ini biasa dengan kemenangan 1-0 pada minit-minit terakhir perlawanan sedang berdepan dengan situasi yang berbeza menuju 10 minit terakhir perlawanan. Torres digantikan Ryan Babel yang hampir memberikan gol ke-4 Liverpool setelah membuat satu 'back heel' untuk Gerrard namun sepakannya melambung tinggi. Dan ketika bermain dalam masa kecederaan, Reina membuat sepakan tinggi dan jauh ke dalam kawasan United dan bola melantun menuju ke arah Andrea Dossena yang dikawal Ferdinand. Dalam kekalutan tersebut Dossena sempat membuat satu sepakan lambung menuju ke pintu gol van der Sar yang telah pun keluar sedikit kehadapan sambil hanya mampu melihat bola tersebut melepasinya dan mencecah jaring untuk melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool di Old Trafford. Kekalahan terbesar United di kandang sendiri sejak 1992 dan Liverpool melakukan 2 'double' musim ini ke atas pasukan teratas EPL - Manchester United dan Chelsea.

ECL: Gergasi menangis di Anfield

Liverpool ( 4 : 0 ) Real Madrid
(Torres 16, Gerrard pen-28, 47, Dossena 88)
(Agg: 5-0)
Berbekalkan kelebihan 1 gol ditempat lawan Liverpool turun ke Anfield bukan setakat mempertahankan kelebihan gol tersebut namun cuba untuk menundukkan pasukan 'Gergasi Sepanyol' yang pertama kali bertandang ke Anfield. Pasukan 11 pemain Real Madrid yang sebelum ini kerap kali membayangkan laluan mudah ke peringkat seterusnya apatah lagi apabila Liverpool yang agak hambar di pentas EPL akan bertemu Liverpool yang beraksi dengan lebihan pemain yang bermain di luar padang terutamnya di Kop.

Bermula dengan garang, The Reds bertubi-tubi mengasak sejak dari awal permainan melalui gandingan Fernando Torres, Javier Mascherano, Steven Gerrard dan Ryan Babel masing-masing bergilir-gilir menguji barisan pertahanan Real Madrid yang diketuai oleh Fabio Cannavaro. Gol pertama Liverpool menerusi Torres pada minit ke-16. Hantaran tinggi dari Jamie Carragher melepasi Cannavaro dan singgah ke kaki Torres. Pepe cuba menguis bola tetapi dapat kepada Dirk Kuyt yang menghantar ke dalam kotak penalti dan disambar oleh Torres sedang Iker Casillas telah tertewas di tepi tiang gol dan Pepe cuba membuat tuntutan Torres telah mengasarinya.

Tidak berhenti setakat itu, The Reds terus menerus mengatur serangan memaksa Casillas membuat beberapa percubaan termasuk tandukan Martin Skrtel dan sepakan lambung Gerrard. Namun selepas itu pada minit ke-27 Gabriel Heinze dipersalahkan apabila penjaga garisan menyatakan bola terkena tangannya dan pengadil Belgium, Frank De Bleeckere tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti buat Liverpool. Kapten tidak mensia-siakan peluang setelah melepaskan tendangan ke sebelah kanan Casillas yang telah bergerak ke arah yang bertentangan. Real Madrid bertambah malang semalang bola yang sebenarnya terkena bahu Heinze dan bukan terkena tangannya. Liverpool kemudiannya kembali tenang dan Real Madrid pula mendapat beberapa peluang yang tidak disempurnakan dengan baik.

Bermula separuh masa ke-2, Real Madrid mengeluarkan Arjen Robben yang sebelum ini sangat mahu membelasah Liverpool tetapi tidak mampu bermain dengan baik dan diganti oleh Marcelo. Suatu pertukaran yang tidak menakutkan The Reds apabila Babel yang menerima hantaran Xabi Alonso membuat larian di sayap kiri dan terus membuat hantaran lintang yang jatuh di hadapan Gerrard sebelum meledakkan tendangan menggegarkan jaring. Hanya 65 saat mula permainan dan Liverpool telah mempunyai kelebihan aggregat 4-0. Nyata bukan nasib Real Madrid untuk kejohanan tahun ini namun mereka tetap berusaha mencuba mendapatkan sekurang-kurangnya gol kenangan lawatan pertama ke Anfield.

Rafael Benitez yang sudah yakin dengan kemenangan tersebut telah merehatkan tonggak utama dan memasukan pemain muda termasuk kapten pasukan belia, Jay Spearing yang menggantikan kapten pasukan senior, Gerrard. Ia juga salah satu langkah untuk mengekalkan kecergasan Gerrard sebelum pertemuan dengan Manchester United di Old Trafford pada perlawanan hujung minggu. 2 minit sebelum masa permainan sebenar tamat, Andrea Dossena yang menggantikan Torres menerima bola lintang Mascherano telah menjaringkan gol ke-4 malam itu dan melengkapkan kemenangan besar Liverpool ke atas juara Sepanyol.

Khamis, 2009 Mac 05

EPL: Kemenangan penaik semangat

Liverpool: 2 - 0 :Sunderland

Bermain di Anfield sudah semestinya memberi kelebihan kepada Liverpool untuk mengalahkan Sunderland. Apa yang pasti Liverpool turun dengan posisi 4-4-2 dengan Dirk Kuyt dan David Ngog berpasangan di bahagian serangan. Albert Reira dan Emiliano Insua juga kembali ke barisan utama namun yang paling mengejutkan apabila Javier Mascherano bermula di posisi pertahanan kanan.

Sunderland hampir mendahului pada minit ke-4 apabila Kenwyne Jones mendapat bola hasil kesilapan Martin Skrtel namun percubaanya dapat diselamatkan oleh Jose Reina. Dan selepas itu The Reds tidak lagi membiarkan kesilapan berlaku dan terus-menerus menekan pertahanan Sunderland dengan Ngog, Reira, Kuyt, Yahudi, Mascherano, Insua, Xabi Alonso dan Steven Gerrard bergilir-gilir membuat percubaan namun tidak mendatangkan sebarang hasil. Separuh masa pertama berakhir dengan 0-0 dan The Reds masih kelihatan tumpul.

Separuh masa kedua pula Liverpool bermula dengan lebih garang dengan mengasak ke segenap penjuru. Hasilnya mereka memperolehi gol pertama di minit ke-52. Reira di sebelah sayap kiri membuat hantaran lintang dan ditanduk ke dalam oleh Gerrard yang menemui Ngog sebelum menolak mudah ke dalam gol. Sunderland agak tersentak dan mengatur serangan termasuk membawa masuk Djibril Cisse namun ternyata tidak membawa perubahan.

Kelihatan Liverpool pula yang menambah gol ke-2 melalui Yahudi yang menerima bola muntah setelah Marton Fulop gagal menangkap kemas hantaran lintang Ngog. Walaupun bermain dengan baik, Ngog terpaksa dikeluarkan setelah bergelut dengan masalah cramp dan digantikan dengan Lucas Leiva. Liverpool terus menguasai permainan namun terpaksa berpuas hati dengan 2 gol sahaja kerana kecemerlangan penjaga gol Sunderland yang telah menyelamatkan sekurang-kurangnya 6 percubaan.

Selasa, 2009 Mac 03

Preview EPL: vs Sunderland (Anfield)

Liverpool (LWDWL) vs Sunderland (LWDWD)
Anfield

Sesungguhnya Liverpool perlu memenangi perlawanan ini untuk bangkit dari kekalahan mengejutkan hujung minggu lepas di tangan Middlesbrough. Tambahan pula perlawanan ini akan menentu ukur sejauh mana The Reds bersedia untuk melayan kunjungan Real Madrid dalam tempoh seminggu.

Melihat dari 5 perlawanan terakhir, Sunderland mempunyai prestasi yang lebih baik termasuk berjaya mengikat Arsenal di Emirates. Ditambah pula dengan ketiadaan beberapa pemain tonggak Liverpool akibat kecederaan seperti Fernando Torres, Daniel Agger dan Alvaro Arbeloa menyaksikan Sunderland mampu menambah keperitan kepada luka The Reds.

EPL: Badi Riverside berterusan

Kegagalan Liverpool untuk mendapatkan mata penuh di Riverside terus berterusan dengan kekalahan 2-0 kepada Middlesbrough. Walaupun menguasai 72% permainan, barisan serangan Liverpool gagal menzahirkannya menjadi gol dan lebih malang lagi apabila Xabi Alonso memberikan tuan rumah gol pendahuluan menerusi gol sendiri pada minit ke-31.

The Reds nyata tempang tanpa kelibat Torres yang mengalami kecederaan dan gandingan Dirk Kuyt, Ryan Babel dan Nabil el-Zhar nyata tumpul dengan menyaksikan bola hanya berlegar-legar di kaki mereka dan tidak menuju ke pintu gol Boro. Gol ke-2 mereka hadir melalui serangan balas dari sebelah sayap kanan melalui larian Jeremie Aliadiere sebelum menghantar ke Sanli Tuncay yang tidak dikawal. Dengan tenang pemain Turki itu melepaskan tendangan rendah ke sebelah kanan Jose Reina dan mencecah jaring.

Tersentak dengan jaringan itu The Reds memasukkan David Ngog menggantikan el-Zhar namun Boro hampir mendapatkan gol ke-3 melalui penyerang gantian, Marlon King. Seakan tidak mampu memenangi perlawanan tersebut, Rafael Benitez mengeluarkan 2 pemain yang paling berpengaruh Jamie Carragher dan Steven Gerrard yang nyata masih belum kembali 100% cergas.

Ironinya kekalahan ke-2 ini hadir tatkala The Reds di tangga ke-2 teratas tewas kepada pasukan ke-2 dari bawah. Apa yang lebih memilukan lagi, impian menjulang Piala Liga Perdana Inggeris buat kali pertama seakan terpadam terus dan kini Liverpool jatuh ke tangga ke-3 setelah Chelsea memintas setelah menewaskan Wigan Athletics.

Khamis, 2009 Februari 26

ECL: Kegembiraan di Bernabue

Walaupun acap kali diusik tidak mampu menang menjelang perlawanan panas di gelanggang keramat Real Madrid namun The Reds telah membuktikan sebaliknya. Meski pun Los Blancos menguasai permainan tapi tidak dapat meletakkan bola di dalam jaring melepasi Jose Reina yang beberapa kali bertindak cemerlang untuk menidakkan gol buat Real Madrid.

Walaupun diberi jolokkan 'Spanish Giants' namun bilangan pemain Sepanyol adalah lebih ramai di pasukan Liverpool. Apa yang lebih jelek dan menjengkelkan adalah sikap pemain Real Madrid yang nyata tidak seperti gergasi tetapi seperti anjing sahaja. Mereka lebih banyak membuat 'terjunan bebas' (dive), berlakon tergolek berguling-guling apabila disentuh ibarat dilanggar lori pasir dan tidak lupa untuk bermain kasar dan kelihatan pengadil perlawanan kadang-kadang termakan juga perlakuan mereka seterusnya memberikan sepakan belas ehsan kepada pasukan 'Spanish Dogs'. Pelakon 'crook' yang paling jahat perlawanan itu dimenangi oleh Gago yang berjaya hanya menerima kad kuning walaupun membuatkan Albert Reira terpaksa diusung keluar dan diganti dengan Steven Gerrard.

Gol tunggal perlawanan diperolehi pada minit ke-82 apabila Gabriel Heinze dengan tidak semena-mena mengasari Dirk Kuyt di sebelah kanan padang pada jarak 33 meter dari pintu gol Real Madrid. Fabio Aurelio yang diberi tugas mengambil sepakan tersebut melambungkan bola menuju ke tengah kotak penalti dan disambar oleh Yahudi yang menanduk melepasi Iker Casillas untuk Liverpool mendapat kelebihan gol di tempat lawan. Namun ternyata tetap ada harga yang perlu dibayar The Reds apabila bakal kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan termasuk Fernando Torres dan Alvaro Arbeloa selain Reira.

Selasa, 2009 Februari 24

EPL: Kecewa lagi di Anfield

Harapan untuk terus mengekori rapat Manchester United nampaknya semakin sukar apabila sekali lagi seri di Anfield setelah terikat 1-1 dengan musuh mereka, Manchester City. Ketiadaan Steven Gerrard yang belum cergas dan Xabi Alonso yang digantung perlawanan ternyata sedikit merencatkan pergerakan serangan dan pertahanan walaupun menguasai perlwanan apabila Rafael Benitez menurunkan pemain kesayangannya, Lucas Leiva.

Manchester City mendahului 1-0 pada minit ke-49 apabila tendangan Craig Bellamy melantun setelah terkena Alvaro Arbeloa dan melepasi jangkauan Jose Reina. City menggandakan asakan selepas itu sehingga menyaksikan gol jaringan Stephen Ireland dibatalkan kerana offside. Apa yang jelas pemain Liverpool seakan gagal mengekang pergerakan pemain City dan lebih mengecewakan apabila mereka sering kali membuang bola dalam situasi menyerang.

Hanya pada minit ke-78, Fernando Torres yang menerima hantaran Yahudi telah gagal merembat tepat namun bola telah bergolek ke Dirk Kuyt yang dengan pantas menyambar peluang dan menghantar bola ke jaring. Terselamat Liverpool dari kalah di Anfield namun penyokong The Reds mahukan 3 mata penuh untuk terus menghambat pendahulu liga. Namun gagal juga berbuat demikian apabila Shay Given beraksi cemerlang dalam mematahkan beberapa cubaan ke pintu golnya.

Ahad, 2009 Februari 22

Pria Ganteng telah selamat dilahirkan

Berkat air selusuh yang disediakan pada malam Jumaat lalu bersempena dengan majlis membaca YaSin di Surau PAS Kampung Limbong, Paka, isteriku telah kepecahan ketuban pada keesokan harinya kira-kira 2.15 pagi sedang akoo terlena keletihan setelah bermain ragbi untuk pasukan Petronas yang dikalahkan 75-0 oleh Universiti Malaysia Timur (UMT). Lantas akoo mengejutkan mertuaku, memberitahu ayahandaku serta bersedia bergegas ke Hospital Dungun pada kadar paling perlahan.

Bumi Paka yang sudah lama tidak bermandikan hujan telah disimbahi air dari awan yang mengiringi perjalanan kami sekeluarga ke Dungun. Terus ke Wad Bersalin dan ditempatkan di katil 11 dan akoo terus tidur di dalam kereta sambil siap siaga andai cik misi memanggilku di bilik bersalin. Namun keadaan masih terkawal sehingga waktu dhuha dan akoo sempat pulang ke Paka. Tatkala mahu terlena, sms dari isteriku membuatkan akoo terus bersiap menuju ke hospital semula.

Di hospital akoo memimpin isteriku dari katil ke bilik bersalin namun cik misi tidak membenarkan akoo mengikut sama membuatkan ku kembali ke bangku menyambung tidur ku sambil menunggu panggilan cik misi namun sekali lagi tiada berita. Sehingga waktu melawat pada 12.30 tengah hari, akoo bersama bonda menuju ke katil 11 namun tiada kelibat isteriku di situ. Dia sudah kembali ke bilik bersalin.

Tiba-tiba kedengaran teriakan bayi dari bilik itu dan akoo semakin berdebar-debar namun ia bukan anakku kerana ia milik orang lain yang sama-sama masuk ke wad itu pada paginya. Cik misi keluar dan memanggil ku, lantasku mengekorinya dan terlihatlah isteriku dalam posisi untuk bersalin. Akoo terus memberi kata-kata semangat namun isteriku tidak berupaya kerana kekurangan tenaga membuatkan cik misi memasukkan air melalui tangannya.

Alangkah sedihnya melihat isteriku yang tiada berdaya namun dipaksa jua membuat teranan sehingga tepat 1.23pm tatkala azan Zuhur berkumandang di masjid belakang hospital, Pria Ganteng aka The Young Liverpudlian seberat 3.15kg telah selamat dilahirkan setelah hampir 45 minit isteriku berjuang. Akoo menyempurnakan solat Zuhur dan kemudiannya mengazankan di telinga puteraku. Namun kerana terlalu lama proses kelahiran membuatkan puteraku agak lemah dan diberi rawatan oksigen. Akoo kembali ke luar wad dan menuju ke kantin untuk makan bersama mertuaku.

Hanya setelah siap isteriku dirawat, akoo melawatnya di katil 11. Kelihatan isteriku amat lemah namun akoo amat bangga kerana dia berjaya melahirkan seorang bayi pria seperti mana yang telah akoo ramalkan sebelum ini. Akoo tidak membuat 'scan' untuk mengetahui jantinanya. Walaupun sebelum ini akoo ingin menamakannya Adam Daniel namun berkemungkinan besar namanya adalah Adam Zafran seperti yang dipinta isteriku.

Terima kasih adinda. Assalamualaikum, Pria Ganteng.