Padang Anfield @ Facebook

Join Padang Anfield di Facebook...
Klik >> http://www.facebook.com/#!/pages/Padang-Anfield/113076378733822

Isnin, Mac 16, 2009

(2008/09) EPL: Old Trafford runtuh

Manchester United ( 1 : 4 ) Liverpool

(Torres 28, Gerrard pen-44, Aurelio 77, Dossena 90+1)


Ramai yang menyatakan Liverpool masih dibuai mimpi indah setelah memalukan Real Madrid di Anfield pada perlawanan ECL di pertengahan minggu dan Manchester United bakal mengejutkan The Reds dari lena yang panjang itu. Tambahan pula Liverpool terpaksa menggunakan pemain yang semakin tidak disukai ramai, Lucas Leiva yang menggantikan Xabi Alonso yang cedera pada perlawanan sebelum itu. Sami Hyypia juga dimasukkan di saat akhir menggantikan Alvaro Arbeloa yang menyaksikan Jamie Carragher akan bermain di sebelah kanan.


Perlawanan yang bakal tegang ini berlangsung dengan kedua-dua pasukan bermain dengan agak berhati-hati namun Manchester United terlebih dahulu mengatur gerakan dan membuat percubaan ketika Liverpool masih tercari-cari rentak permainan. Nyata barisan pertahanan Liverpool yang dibarisi gabungan pemain tua dan muda ini terpaksa bekerja keras menyerap setiap pergerakan pemain tengah Manchester United sehingga menyaksikan Carlos Tevez yang membuat hantaran ke Park Ji Sung di dalam kotak penalti sehingga memaksa Jose Reina meluru keluar untuk menepis bola. Namun pergerakannya itu melanggar Park yang menggulingkan dirinya sehingga hampir keluar padang dan pengadil permainan, Alan Wiley tidak teragak-agak menunjuk ke titik sepakan penalti yang disempurnakan Ronaldo walaupun Reina telah berjaya mengagak bola tersebut.


Namun kelebihan gol itu tidak memberi kelebihan buat United apabila ia lebih menyuntik semangat juang pemain The Reds yang acap kali dinyatakan akan bermain lebih baik setelah ketinggalan satu gol. Ini terbukti apabila gandingan tengah Liverpool yang diterajui oleh Steven Gerrard, Albert Reira dan Dirk Kuyt kembali menyusun gerakan. Namun gol penyamaan The Reds hadir bermula dari hantaran jauh Martin Skrtel ke dalam kawasan United. Nemanja Vidic yang dikatakan dalam prestasi terbaik, membiarkan bola itu melantun melepasinya walaupun Fernando Torres berada sangat rapat dengannya. Torres yang lebih nyata lebih pantas, melepasi halangan Vidic dan menghantar bola melintang melepasi Edwin Van Der Sar yang juga dikatakan dalam kemuncak prestasi untuk bola menggegar jaring hanya di sebelah tiang kanan penjaga gol.


Terikat 1-1, dan Torres semakin galak mempermainkan barisan pertahanan United terutamanya Vidic sehingga terpaksa dibantu Rio Ferdinand. Namun selepas itu United kembali menyerang dan memperolehi percubaan menerusi sepakan percuma Ronaldo yang gagal diselamatkan kemas Reina namun Carlos Teves gagal menyambar bola muntah tersebut. Micheal Carrick juga mendapat peluang setelah berjaya melepasi kawalan Javier Mascherano namun percubaannya hanya sedikit tersasar melepasi palang gol.


Dalam keghairahan United menyerang, Torres yang dalam posisi menyerang menghantar bola ke sebelah kanan kotak penalti untuk Gerrard dan Patrice Evra cuba menghalangnya telah menjatuhkan Kapten Liverpool di dalam kotak penalti dan memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang kedua pada hari ini. Gerrard tanpa sebarang masalah melaksanakan tugasannya walaupun van der Sar keluar lebih awal yang membolehkan pengadil menghadiahkan kad kuning buatnya. Gerrard selepas itu enggan meraikan gol dengan pemain lain sebaliknya memegang lambang Liverpool dan terus mengucup kamera di penjuru padang. Liverpool mendahului 2-1 menuju tamat separuh masa pertama.


Separuh masa kedua memang milik United pada awalnya. Pemain mereka bertali arus membuat pergerakan dan serangan menerusi Ronaldo, Park, Tevez dan pemain yang sangat membenci Liverpool, Wayne Rooney. Beberapa kali pemain Liverpool terpaksa mengasari mereka demi mengelakkan percubaan yang lebih bahaya dengan layangan kad kuning juga berpihak kepada Liverpool di mana Mascherano dan Skrtel juga terkena bahangnya. Namun masih tiada jawapan dari United terhadap gol Gerrard sehinggakan Sir Alex Ferguson mengarahkan penyerang berbisa, Dimitar Berbatov beserta dua kuda tua terhebat, Ryan Giggs dan Paul Scholes bersedia untuk masuk. Dan mereka dimasukkan serentak pada minit ke-74 menggantikan Anderson, Carrick dan Park.


Hanya selepas pertukaran itu, penyokong United melihatkan sesuatu yang hebat akan berlaku apabila Vidic yang dimalukan oleh Torres sebelum itu terpaksa menarik baju Gerrard dan menjatuhkannya di luar kotak penalti demi menghalang Gerrard memalukan van der Sar sekali lagi. Tindakannya itu mengundang padah buat United apabila pengadil menghadiahkan kad merah buat Vidic dan sepakan percuma buat Liverpool. Gerrard dan Fabio Aurelio bersedia mengambil sepakan yang kemudiannya diambil Aurelio yang menghantar bola melepasi tembok pemain ke penjuru sebelah kiri van der Sar yang nyata tergamam dan hanya melihat bola tersebut mencecah jaring untuk Liverpool mendahului 3-1. United yang telah menggunakan kesemua pertukaran yang dibenarkan terpaksa bermain dengan 3 pertahanan sambil mengharapkan kuda tua mereka mampu membuat 'come back' buat mereka.


United yang sebelum ini biasa dengan kemenangan 1-0 pada minit-minit terakhir perlawanan sedang berdepan dengan situasi yang berbeza menuju 10 minit terakhir perlawanan. Torres digantikan Ryan Babel yang hampir memberikan gol ke-4 Liverpool setelah membuat satu 'back heel' untuk Gerrard namun sepakannya melambung tinggi. Dan ketika bermain dalam masa kecederaan, Reina membuat sepakan tinggi dan jauh ke dalam kawasan United dan bola melantun menuju ke arah Andrea Dossena yang dikawal Ferdinand. Dalam kekalutan tersebut Dossena sempat membuat satu sepakan lambung menuju ke pintu gol van der Sar yang telah pun keluar sedikit kehadapan sambil hanya mampu melihat bola tersebut melepasinya dan mencecah jaring untuk melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool di Old Trafford. Kekalahan terbesar United di kandang sendiri sejak 1992 dan Liverpool melakukan 2 'double' musim ini ke atas pasukan teratas EPL - Manchester United dan Chelsea.

0 comments:

Catat Ulasan

Para Sahabat